MASALAH air paip yang busuk disebabkan oleh ammonia yang terjadi di Lembah Klang beberapa hari lalu menimbulkan banyak persoalan.
Punca air mentah tersebut yang menjana 60 peratus air minum kepada kawasan perbandaran yang terbesar di negara kita datangnya dari beberapa takat pengambilan air Sungai Selangor berdekatan dengan pekan Batang Berjuntai.
Pelbagai punca pencemaran ada dalam kawasan tadahan di hulu sungai tersebut termasuk beberapa kilang kelapa sawit.
Paling kurang terdapat satu kilang getah dan loji-loji pengolahan kumbahan dari beberapa pekan dan bandar termasuk Kuala Kubu Baru, Batang Kali dan Rawang.
Kawasan pelupusan sampah Bukit Tagar yang sepatutnya melepaskan efluen air sisa air larut lesap (leachate) ke Rizab Hutan Raja Muda Musa dalam tadahan Sungai Tengi boleh juga menjadi punca pencemaran kerana keadaan alur air yang mempunyai kemampuan membawa air sisa tersebut ke Sungai Selangor.
Pakar-pakar kualiti air bersependapat bahawa parameter seperti ammonia, BOD and COD akan bertambah kepekatannya apabila aliran air berkurangan seperti di musim kemarau.
Tetapi apa yang terjadi di Sungai Selangor beberapa hari lalu adalah sebaliknya iaitu parameter ammonia menjadi tinggi sehingga mencecah kepekatan 9.2 mg/l selepas hujan lebat.
Pada hemat saya, punca pencemaran adalah dari loji pengolahan sisa organik dalam tadahan Sungai Selangor. Sama ada ia dilepaskan secara sengaja atau tidak, perlu diselidik oleh pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkenaan.
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berkali-kali menyatakan bahawa air paip busuk tersebut adalah selamat digunakan kerana ia menepati piawaian minimum yang telah diwartakan.
Persoalannya, pengguna mana yang ingin minum air yang berbau najis? Mengikut hukum fikah, air tersebut adalah air `mutanajjis' yang tidak boleh digunakan untuk mengambil wuduk, jauh sekali digunakan untuk air minum, memasak atau mandi.
Kemelut kualiti air paip ini sepatutnya menjadi perhatian Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang akan membentang rang undang-undang Industri Perkhidmatan Air 2005 pada pertengahan Mac nanti.
Piawaian minimum yang kuno tidak boleh digunakan secara persendirian lagi. Ia patut ditambah atau ditukarkan dengan penggunaan Indeks Kepuasan Pengguna (Customers' Satisfaction Index, CSI).
CSI mengukur kepuasan pengguna terhadap kualiti air paip yang digunakan seharian. Beberapa parameter tambahan kualiti air digunakan terutamanya rasa dan baik air tersebut.
Undang-undang berkaitan juga sepatutnya mempunyai peruntukan yang menjaga kepentingan pengguna. Mana-mana syarikat air yang tidak menepati tahap CSI yang diwartakankan perlu didenda melalui pemberian rebat dalam bil-bil air pengguna.
Pada masa yang sama, pihak yang menjual air mentah iaitu kerajaan negeri seperti Selangor untuk kes ammonia di Sungai Selangor juga mempunyai tanggungjawap yang besar untuk menentukan komoditi air mentah yang dijual kepada syarikat-syarikat air seperti Syabas menepati piawai paling minimum untuk bekalan air minum iaitu Kelas III bagi keseluruhan parameter dan individu (oksigen terlarut, BOD, COD, ammonia, pepejal terampai dan pH) mengikut Piawaian Sementara Kualiti Air Kebangsaan (Interim National Water Quality Standards, INWQS).
Mengikut INWQS, ammonia pada kepekatan 9.2 mg/l di Sungai Selangor beberapa hari lalu melepasi had kualiti air Kelas V iaitu pada kepekatan 2.7 mg/l.
Ini bermakna air mentah pada masa itu tidak boleh langsung digunakan oleh manusia!
- PROF. MADYA DR. MAKETAB MOHAMED
Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor.
The administrator has disabled public write access. | Report to moderator Logged